Memastikan strategi pembangunan kekal relevan, responsif




Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, bagi memastikan kedayatahanan agenda pembangunan negara, kita perlu mengorak langkah yang dinamik dan sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu dalam dunia yang pantas berubah, kesiapsiagaan untuk bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan isu-isu semasa yang muncul (emerging issues) adalah penting kerana ia boleh memberi kesan langsung kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI-KPI) kebangsaan yang telah ditetapkan.


Oleh yang demikian titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, setiap pelan dan inisiatif pembangunan perlu dilihat sebagai satu life document yang memerlukan semakan dan penyelarasan dari semasa ke semasa mengikut keperluan semasa dan perubahan.


Pendekatan ini penting tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memastikan strategi-strategi pembangunan kekal relevan, responsif dan berupaya mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam meningkatkan kemakmuran ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pembangunan modal insan negara.


Bertitah semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 (MTWB 2035) Kali Pertama bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, semua orang perlu ingat bahawa usaha untuk mencapai semua ini tidak dapat dipikul oleh kerajaan sahaja, bahkan ia memerlukan penglibatan semua pihak khususnya bukan kerajaan, sebagai rakan pembangunan strategik.


"Beta juga berharap, tindakan transformasi yang diambil oleh majlis ini dengan gandingan usaha padu jentera Perkhidmatan Awam dan sektor bukan kerajaan akan dapat memenuhi harapan generasi kini dan akan datang.


"Usaha bersama perlu untuk membawa ke arah pembangunan yang pesat demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat di negara ini. Majlis ini akan meneliti kerangka kerja Wawasan Brunei 2035 yang telah dikemas kini termasuk penetapan petunjuk-petunjuk prestasi utama atau KPI-KPI kebangsaan dan penggunaan indeks Wawasan Brunei 2035 sebagai pengukur pencapaian di peringkat kebangsaan," titah baginda lagi.


Kebawah DYMM juga difahamkan bahawa semua ahli telah pun meneliti rangka kerja Wawasan Brunei 2035 melalui kementerian masing-masing dan perbincangan di peringkat mesyuarat kordinasi Wawasan Brunei 2035.


Ini titah baginda lagi, penting bagi membolehkan Majlis Tertinggi bagi mendapat gambaran menyeluruh mengenai pencapaian semasa dan hala tuju menjelang tahun 2035.


Kebawah DYMM dalam titah juga berharap kerangka kerja Wawasan Brunei 2035 dan KPI-KPI Kebangsaan akan digunakan secara telus, konsisten dan meluas dalam memandu tindakan transformasi khususnya melalui blueprint-blueprint yang telah disediakan.


Baginda selanjutnya bertitah, selaras dengan hasrat ini, usaha dan inisiatif yang bersepadu di setiap peringkat adalah penting dalam memantapkan perlaksanaan strategi dan pelan tindakan.


"Strategi yang dirancang hendaklah saling mendukung dan menghasilkan kesan berganda (multiplier effect) kepada semua sektor dan kumpulan sasaran.


Ini termasuklah keperluan untuk semua pihak terus fokus kepada sasaran yang dipersetujui bersama tanpa tersasar daripada hala tuju utama Wawasan Brunei 2035," titah Kebawah DYMM lagi.

Close